headerpengarah

salam

PENDENGAR GEMBIRA, PERUBAHAN TERUS BERJALAN.
 
Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, kita kini berada di bulan Mac 2017. Selepas itu April pula akan muncul. 1 April ini adalah hari ulang tahun RTM ke 71.  Jika umur manusia diambil kira, usia 70-an dikategorikan sebagai sudah tua dan uzur.. Badan pun makin lemah dan diserang pelbagai penyakit.  Tapi bagi organisasi seperti RTM, usia 71 sepatutnya tidak begitu. RTM tidak sepatutnya makin layu dan terus layu ketika pesaing mereka makin maju ke depan dengan idea dan kreativiti baharu. RTM sebagai organisasi paling lama dan berpengalaman sepatutnya terus ke depan sambil melakukan pelbagai perubahan yang diingini oleh pendengar zaman ini. RTM seharusnya melupakan zaman kegemilangan mereka dahulu kerana pada ketika itu mereka tidak mempunyai pesaing. Pendengar pada waktu itu tidak mempunyai pilihan seperti sekarang.   Kini  pelbagai siaran radio dan TV tumbuh bagai cendawan di musim hujan.
 
Di Terengganufm kami rancak mengadakan perubahan untuk memenuhi selera pendengar masa kini.  Terbaharu, Terengganufm sudah menerbitkan 4 episod Tokoh Islam Minggu Ini, TISMI yang bersiaran setiap Sabtu pukul 6.15 petang. Empat siri tersebut ialah Uwais Al Qarni, Bilal Bin Rabah, Umar Abd Aziz (siri 1 dan 2).  TISMI adalah satu-satunya program majalah radio di negara ini yang menampilkan pengkisahan tokoh Islam, berlatarkan bunyi latar, lagu dan lakonan dalam satu program. Ini menjadikan mereka yang mendengarnya seolah-olah berada di zaman tokoh tersebut. Mesej yang cuba dibawa oleh program ini ialah membentuk masyarakat ke arah melahirkan generasi berakhlak mulia yang berjaya di dunia dan di akhirat.
 
Terengganufm juga akan mengadakan beberapa program turun padang (Radio Di Lokasi) pada April ini.  Antaranya program Negaraku, Sehati@RTM di Hulu Terengganu. Karnival selama 2 hari itu nanti akan diisi dengan pelbagai acara menarik yang akan merapatkan lagi kemesraan antara pengunjung dan ikon ikon RTM serta pemimpin negeri dan masyarakat. 
 
Bagi kami di Terengganufm, sokongan berterusan anda amat bermakna. Teruskan mendengar kami. Ceritakan perubahan yang kami bawa kepada sanak saudara dan sahabat handai. Salam sayang dari kami semua untuk anda...
 
Nordin Sulaiman,
Bukit Pak Apil.
5 Mac 2017.